Takrif Menurut Kamus Dewan, globalisasi membawa maksud "fenomena  yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia  disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat.". Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini,  dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan  langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai  maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi  seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. Perkembangan  ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara  yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh  yang singkat."  
 Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan  yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti  politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat  manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama  dalam konsep dunia tanpa sempadan.  
 Globalisasi juga  merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya  bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yg lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia."  
 Globalisasi dalam erti literal adalah sebuah  perubahan sosial, berupa bertambahnya keterkaitan di antara masyarakat  dan elemen-elemennya yang terjadi akibat transkulturasi dan perkembangan  teknologi dalam bidang transportasi dan komunikasi yang memfasilitasi  pertukaran budaya dan ekonomi internasional. Istilah globalisasi dapat diterapkan dalam pelbagai konteks sosial, budaya, ekonomi dan sebagainya. Misalnya, globalisasi dapat diertikan sebagai: - pembentukan desa global (global village)  - yang bererti konteks yang lebih erat antara pelbagai pelosok dunia,  meningkatnya interaksi personal, saling kerja sama dan persahabatan  antara penduduk dunia. 
 
- globalisasi ekonomi - meningkatnya perdagangan bebas dan meningkatnya hubungan antara pelaku ekonomi di pelbagai negara. 
 
 Dalam banyak hal, globalisasi mempunyai  banyak karakteristik yang sama dengan internasionalisasi, dan istilah  ini sering dipertukarkan. Sebahagian pihak sering menggunakan istilah globalisasi yang dikaitkan dengan berkurangnya peranan negara atau batas-batas negara. Orang-orang Perancis menggunakan perkataan "Mondialisation" dalam menerangkan globalisasi. Manakala orang-orang Amerika dan Inggeris pula menggunakan perkataan Inggeris "Globalization"  yang mula-mula muncul di Amerika Syarikat. Ia membawa maksud  mengumumkan sesuatu dan meluaskan kawasannya agar merangkumi semua.  
 Berdasarkan maksud tersebut, bolehlah diandaikan bahawa seruan kepada globalisasi ini  jika dilaungkan oleh negara atau kumpulan tertentu, ia bererti  menjadikan cara hidup negara atau kumpulan tersebut menyeluruh dan  diguna pakai oleh dunia. Dengan kata lain, percubaan untuk menjadikan seluruh manusia di dunia meniru cara hidup mereka dengan apa cara sekalipun.   
 Justeru, tidak hairanlah jika ada sesetengah pengkaji melihat globalisasi sebagai satu proses pengamerikaan  dunia. Begitu jugalah ada pengkaji yang mentakrifkannya sebagai sistem  kapitalis Amerika yang cuba untuk menguasai dunia. Hal ini kerana seruan  kepada globalisasi ini bermula di Amerika Syarikat.  
 Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat: "Adapun globalisasi, kami melihat - berdasarkan seruannya sehingga ke hari ini - ia adalah pemaksaan  penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial daripada Amerika  Syarikat terhadap dunia, khususnya dunia timur dan dunia ketiga, bahkan  secara lebih khusus, dunia Islam."  
 Bolehlah disimpulkan di sini bahawa globalisasi merupakan  salah satu daripada penjajahan baru yang lebih merbahaya dan licik  daripada Amerika Syarikat untuk menguasasi dunia dalam segala aspek,  sama ada ekonomi, sosial, budaya dan politik. Justeru, tidak hairanlah  ada gerakan dari barat sendiri, secara khususnya di negara-negara Eropah  yang menentang globalisasi. Beberapa sesi tunjuk perasaan telah mereka buat di bandar-bandar besar dunia untuk mengkritik globalisasi dan mengajak penduduk dunia menentangnya.  
  
 Telah  menjadi tabiat manusia, mereka berkeinginan untuk menguasai pihak yang  lain. Justeru, berlakulah pelbagai pergaduhan dan peperangan dalam  sejarah manusia, bermula dari zaman dahulu hinggalah ke hari ini, untuk  melaksanakan keinginan tersebut. Keinginan untuk berkuasa ini bukan  sahaja berbentuk peribadi, bahkan ia juga berbentuk kelompok. Dengan  kata lain, keinginan tersebut dimiliki oleh sesuatu bangsa atau umat  untuk menguasai bangsa dan umat yang lain. Memandangkan  manusia telah dianugerahkan oleh Allah kemampuan untuk berfikir, maka  pertelingkahan dan peperangan yang berlaku untuk memuaskan keinginan  tersebut berlaku dalam pelbagai bentuk. Kalau dahulu mereka berperang  dengan hanya menggunakan senjata kuno seperti pisau, pedang dan lembing,  namun kini mereka menggunakan peralatan yang lebih canggih seperti  senapang, bom dan sebagainya.  Dalam menerangkan perkara ini, seorang pengkaji berkata: 
"Peperangan  dan bentuk-bentuknya semakin maju dengan majunya akal manusia.  Persenjataan juga semakin maju bermula dengan penggunaan besi dan api  hingga berakhir dengan senjata nuklear di penghujung perang dunia yang  disaksikan oleh umat manusia pada tahun 1945 yang menandakan munculnya  kuasa baru dunia iaitu Amerika Syarikat"  
 Memandangkan  peperangan sedemikian rupa memerlukan kepada modal yang tinggi dan  meninggalkan kesan yang sangat negatif dari apsek harta dan moral, maka  manusia berfikir cara baru dalam mencari kekuasaan. Berkaitan perkara  ini, berkata Dr. Mustafa Abdul Ghani: "Sebelum  sempat Kuasa Perikatan bersedia untuk keluar daripada Perang Dunia  Kedua dengan kemenangan, Amerika Syarikat telah cuba memperkukuhkan  peranan imperialisnya yang baru. Kita tahu bahawa Persidangan Bretton  Woods yang berlangsung pada 1/7/1944 hingga 22/7/1944 adalah dianjurkan  oleh Amerika. Dalam persidangan tersebut bermulalah kisah  pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang digunakan oleh Amerika Syarikat  untuk memperkuat cengkamannya terhadap negara-negara yang lain. Dalam  persidangan itu juga, dua perjanjian telah berjaya dibentuk iaitu tabung  wang dan bank dunia. Selepas itu,  Perjanjian Am Mengenai Taarif Dan Perdagangan telah dibuat. Secara  zahir pada awalnya, ia hanyalah sebagai badan sementara berkaitan  perdagangan."  
 Justeru, di sinilah bermulanya sejarah globalisasi yang  ada pada hari ini. Pertubuhan-pertubuhan dunia yang ditubuhkan tersebut  akhirnya digunakan oleh kuasa-kuasa besar, secara khususnya Amerika  Syarikat, untuk menguasai dunia keseluruhannya. Pengusaan Amerika ini  semakin kukuh apabila GATT bertukar kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia  (WTO). Ia tidak lain tidak bukan hanyalah dibuat untuk menjaga kepentingan negara perindustrian maju, khasnya Amerika Syarikat.  
 Begitu jugalah, globalisasi sebenarnya adalah sistem  kapitalisme lama yang berwajah baru. Sejarah membuktikan, pada kurun ke  19, negara-negara kapitalis menunjukkan belangnya dengan menjajah  negara-negara lain dan mengaut sebanyak mungkin hasil buminya, tanpa  mengambil kira dimensi sosial ketika mereka menjajah. Dengan kata lain,  mereka menzalimi rakyat negara yang mereka jajahi. Sebagai tindak balas  daripada gejala ini, sistem sosialisme – yang lebih mengambil kira  dimensi sosial - diterima oleh golongan yang dizalimi ini.   
 Kesannya,  berlakukan sistem dua kuasa dunia atau dua kutub. Kutub pertama  diwakili oleh Amerika Syarikat yang merupakan negara kapitalisme dan  kedua diwakili oleh Kesatuan Soviet yang merupakan negara sosialisme.  Justeru, berlakulah perang dingin di antara kedua-dua kutub tersebut  sekitar kurun ke 20. Pada ketika itu, kapitalisme tidak mampu  menunjukkan belangnya dan berselindung di belakang tabir dimensi sosial.  Namun, apabila Kesatuan Soviet runtuh sekitar tahun 90an, mereka tidak  segan silu untuk menunjukkan wajah lamanya yang sebenar. Apa yang  berlaku di Afghanistan dan Iraq membuktikan perkara ini. Inilah yang  disebut sebagai globalisasi.  
 Kesan Negatif dan Positif Globalisasi Sungguhpun globalisasi adalah satu sistem barat yang tidak Islam, ia perlu dikaji dan disaring aspek-aspek negatif dan positifnya. Adalah tidak  bijak untuk mengumumkan hukuman kepada apa jua perkara baru, sama ada  ia baik atau buruk, tanpa dikaji terlebih dahulu dengan teliti. Imam  Ghazali ketika berhadapan dengan cabaran falsafah Yunani di zamannya,  tidak terlalu cepat mengeluarkan hukuman kepada falsafah tersebut.  Bahkan, beliau mengkaji baik buruknya perkara tersebut sehingga mampu  mengeluarkan perkara positif daripada banyak perkara negatif yang  terdapat dalam falsafah Yunani. Justeru, globalisasi juga  perlu dikaji buruk dan baiknya sehingga umat Islam mampu mempergunakan  aspek positif yang ada untuk menentang keburukan-keburukan globalisasi. Terdapat banyak kesan negatif yang timbul daripada globalisasi, antaranya: 
1. Proses Pengamerikaan Dunia Ia merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikut oleh semua penduduk dunia. Proses ini  akhirnya akan merosakkan budaya-budaya lain selain budaya Amerika.  Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya budaya Amerika adalah budaya  yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan agama Islam.  Namun sebaliknya, budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakannya  bertentangan dengan akhlak dan ajaran Islam. Budaya gay dan seks bebas  merupakan contoh yang jelas.   
 Mereka  menggunakan media massa untuk menyebarkan luaskan budaya mereka.  Filem-filem yang mereka buat di Hollywood, di samping dapat mendatangkan  keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Amerika, ia digunakan untuk  tujuan mempromosikan budaya mereka kepada dunia. Bukan itu sahaja,  budaya makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken dan Mc Donald cuba  diterapkan kepada penduduk dunia. Proses pengamerikaan  ini akhirnya akan menjadikan sesuatu bangsa lebih berbangga untuk  mengikut budaya Amerika daripada budayanya sendiri, bahkan sampai ke  tahap memandang rendah kepada budaya ibundanya sendiri.  
 2. Kemiskinan dan Penindasan Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi "Sesungguhnya globalisasi seperti  yang dilihat hari ini, hanyalah untuk kebaikan golongan yang kuat  terhadap yang lemah, untuk keuntungan yang kaya terhadap golongan miskin  dan untuk manfaat blok utara yang kaya tehadap blok selatan yang  miskin". Kenyataan tersebut jelas menunjukkan kesan negatif globalisasi. Dalam sistem globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya, manakala yang miskin akan terus miskin. Pertubuhan-pertubuhan  antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan jurang yang  besar di antara negara blok utara dan blok selatan. Negara-negara dunia  ketiga yang berada di blok selatan, ketika berhutang dengan Bank Dunia,  akan dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu yang rata-ratanya akan  mendatangkan kesan negatif kepada peminjam.  Begitu  jugalah, dengan wujudnya WTO, kemiskinan dan penindasan akan  berterusan. Hal ini kerana WTO membentuk satu persaingan bebas dalam  perdagangan.  Sudah pasti, negara blok selatan yang masih merangkak tidak mampu  mengejar, apatah lagi menyaingi negara-negara maju di blok utara. Justeru, inilah "penjajahan lama yang berwajah dan bernama baru".  
  
 Di samping kesan-kesan negatif, Globalisasi juga  mempunyai kesan positif. Antaranya ialah teknologi maklumat. Dengan  wujudnya teknologi ini, manusia dapat berhubung dengan mudah dan pantas.  Dunia dirasakan seolah-olah satu kampung. Perkara yang berlaku beribu  batu daripada diketahui dalam masa yang sangat singkat dan dengan cara  yang sangat mudah. Justeru, ini semua boleh diguna pakai oleh semua  penduduk dunia untuk memudahkan urusan mereka. Bahkan lebih daripada  itu, ia boleh digunakan oleh umat Islam untuk menyampaikan dakwah dengan  lebih mantap di era yang penuh cabaran ini.  
  
 Mengikut satu definisi, secara ringkasnya teknologi maklumat boleh dianggap sebagai "cara baru penyimpan, memproses dan menyalurkan maklumat yang dihasilkan oleh pembangunan yang pantas dalam bidang elektronik, pengkomputeran dan telekomunikasi".  
 Satu lagi definisi teknologi maklumat yang lebih luas pengertiannya ialah: "...teknologi maklumat bermaksud pengumpulan, penyimpanan, pemprosesan, penyebaran dan  penggunaan maklumat. Ia tidak terkongkong kepada perkakasan atau  perisian, tetapi mengiktiraf kepentingan manusia serta matlamat yang  diletakkannya bagi teknologi tersebut, nilai-nilai yang digunakan untuk  membuat pilihan, penilaian kriteria yang digunakan untuk memutuskan sama  ada ia yang mengawal teknologi itu dan diperkayakan olehnya."  
 Di dalam Ensiklopedia bebas, teknologi maklumat ditakrifkan sebagai: "teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ia merupakan satu tajuk yang sangat luas berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepatnya menggunakan komputer digital dan perisian komputer untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu." Berdasarkan  takrifan-takrifan tersebut dapatlah difahami bahawa teknologi maklumat  bukanlah perkara yang terlalu baru. Ia telah wujud dengan wujudnya  komputer. Bahkan sebelum kewujudan komputer sekalipun ia boleh dikatakan  telah wujud juga.   |  
Tidak ada komentar:
Posting Komentar